Wednesday 15 April 2015

Mana mungkin Melayu mudah lupa…malah memendam rasa yang membara…..
Menyanjung dan hormati orang yg lebih tua dan pemimipin….Orang berbudi kita berbahasa……Itu budaya santun orang Melayu kita yang terpuji, hingga sekarang walau ada yg hanya tinggal sekelumit di hati.
Rakyat sedar pemimipin sekarang dipilih oleh mereka dgn dibayar dan disara oleh mereka (melalui cukai) untuk memajukan rakyat dan negara. Malah rakyat masih lagi hormat para pemimpin selama ini, sungguh pun rakyat tahu beberapa cela yg mereka laku baik di depan mahupun dibelakang mata. Sememangnya sikap hormat yg ada pada org Melayu cukup menebal.
Sayangnya, ada pemimpin Melayu sendiri yang sudah rasa diri seperti dewata, lebih angkuh dari penguasa purba. Mungkin duk lama di kerusi kuasa hingga anggap itu milik selamanya. Budaya dan santun Melayu dulu kini kian berubah kerana dek angkara penguasa yg bukan lagi rahsia malah di depan mata.
Bila masa anak muda
– bertanya apa jasa yg pemimpin bawa,
– mengungkit gaji dan laba pemimpin dari mereka,
– wawasan apa yg pemimpin cerna,
– kemajuan apa yg pemimpin bawa
ketahuilah keadaan tidak lagi sama…..kalau dulu pemimpin didewa-dewa, sekarang pemimpin bak hamba seraya pada jelata…..
Berubahlah ikut peredaran masa jangan sampai diubah masa pilihanraya mahupun di jalanraya………
Mana mungkin Melayu mudah lupa…malah memendam rasa yang membara…..

Wednesday 4 February 2015

Saya berasa sedih perkara ini berlaku di Malaysia kerana semakin hampir kita menjadi negara maju/berpendapatan tinggi (katanya...) semakin banyak perkara dicampuri/dibayangi sentimen perkauman dan ikut rasa hati.
Pengguna/rakyat memang semestinya mempunyai sentimen tidak puas hati apabila harga barang tidak turun apabila harga minyak sudah turun kerana selama ini kenaikan harga barang selalu dikaitkan dengan kenaikan harga minyak.
Persoalan pokok adalah untuk memahami struktur kos jualan produk (cost of good sold) dan mengenal pasti komponen kos yang manakah menyebabkan kenaikan harga dan adakah ia benar-benar dipengaruhi oleh harga minyak. Ini termasuk semua elemen kos jualan produk seperti bahan mentah, kos pengilangan, kos pembungkusan, kos penghantaran, cukai dan lain lain.
Ia memerlukan kajian menyeluruh bukan sahaja pada jenis barang tetapi juga pada sektor sokongan lain di dalam rantaian pembekalan dan pengagihan (supply chain dan distribution channel).
Dari situ kita dapat mengenal pasti isu yang betul dan juga boleh melihat samada pembekal, pemborong, sektor pengangkutan barang atau peniaga mengamalkan keuntungan (margin) yang berlebihan. Atau mungkin juga kepincangan struktur pencukaian oleh kerajaan.
Kerajaan atau menteri mesti membuat kenyataan dan dasar berdasarkan kajian perniagaan di atas.
Kita sudahpun mempunyai LAWS OF MALAYSIA Act 723 PRICE CONTROL AND ANTI-PROFITEERING ACT 2011, dan bagaimana keberkesanan akta ini?
Usah kita mencinakan, mengindiakan atau memelayukan isu-isu ekonomi,,,,zaman tu dah lama lepas. Hakikatnya kebanyakkan perniagaan kaum Cina mempunyai sokongan dari kaum Melayu seperti chairman, pengarah serta pengurusan tinggi Melayu dan ada banyak juga perniagaan kaum Melayu yang sebenarnya dibelakangnya adalah kaum Cina....
Sebagai pengguna kita (semua kaum) harus gunakan kuasa pembeli pengguna untuk boikot barangan semua peniaga (semua kaum) yang mengaut keuntungan yang tak munasabah.
Dan sebagai kerajaan, mereka MESTILAH bertindak berdasarkan fakta dari kajian kajian perniagaan, pemasaran dan pengagihan. Kuatkuasakan akta yang sedia ada dan baikpulih serta kemaskinikan akta tersebut mengikut keadaan semasa.
Barulah masyarakat kita boleh jadi maju...ni nak ikutkan rasa hati tanpa knowing the facts!! Semasa kita semua kecoh ikut rasa hati, saya pasti sudah ada golongan peniaga yg bijak mengkaji perniagaan mereka untuk memperolehi keuntungan yg maksima, samada secara bermoral atau tidak, secara sah dari undang-undang atau tidak....
Persoalannya adakah kerajaan memperolehi kajian dan fakta yang cukup? Dan siapa yang membuat kajian sebegitu di negara kita. Sekiranya kajian seperti itu memang ada dan cukup, saya tak nampak golongan ilmiah dari universiti tempatan yg terbabit dalam jurusan ini bersuara pada persatuan pengguna, kerajaan dan lain-lain.
Kita perlukan lebih ramai golongan ilmiah dari pengkaji, universiti, konsultan untuk lebih aktif menyumbang kebaikan dalam industri dan perniagaan. Ini boleh membantu golongan politik berfikir dan mengambil tindakan yang lebih tepat.....
Mungkin pelajar tahun akhir jurusan perniagaan di universiti di negara Jepun hanya tersengeh apabila mereka lihat keadaan ini. Dan mungkin pegawai dagang asing (expatriate) dari hypermarket asing seperti Tesco hanya tergelak melihat cara kita......

Saturday 12 July 2014

Aku Tak Sembahyang.. Tetapi Aku Berjaya...

Terbaca satu posting dari blog Redzuan-Ridz http://redzuan-ridz.blogspot.com/,,,,yg membuat aku termenung dan pasrah akan ketentuan dan hikmah dari Allah...Semoga kita tidak menjadi kufur semasa menghadapi dugaan kesusahan dan kesenangan oleh Allah....


Aku Tak Sembahyang.. Tetapi Aku Berjaya...




Assalamualaikum dan salam hormat buat semua pembaca yang dirahmati . Pasti ada tertanya2 dengan tajuk entri ini , mungkin agak kontroversi sikit , tetapi saya pasti anda mesti pernah terfikir  , kenapa orang kafir yang sememangnya tidak beriman kepada Allah swt dilimpahi kekayaan , kemewahan , ada orang islam mungkin sahabat , mahupun saudara mara kita yang tak pernah solat , kehidupan bergelumang dengan dosa , berjudi ,kaki perempuan , tapi rezeki Allah swt bagi  hidup mewah. sedangkan kita patuh kepada Allah swt , berusaha ,  tetapi hidup kita tetap susah dipenuhi dengan ujian dan dugaan Allah swt ..

Inilah yang ingin saya kongsikan untuk entri kali ini . persoalan ini jugalah pernah bermain diminda saya beberapa tahun yang lepas dan akhirnya saya menemui jawapannya apabila pernah mendengar ceramah ustaz ismail kamus mengenai persoalan ini, dan juga pernah bertanya kepada seorang ustaz mengenai persoalan ini ..

Seperti yang kita tahu,  ilmu itu merupakan cahaya, dan ianya tidak akan memasuki hati-hati yang gelap. tetapi kita lihat, kawan kita yang berjudi, yang minum arak, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial walaupun sudah berusaha. Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan dugaan.

Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.Orang bertanya kepada saya. Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama ini tidak benar?

Maka saya hendak bertanya kepada anda.

Adakah anda tahu apa itu istidraj?

Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?

Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.

Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali ALLAH SWT.


Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Saya bagi contoh yang paling mudah. Salah seorang darinya adalah Qarun. Apakah anda kenal kepada Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan bahawa, kotak yang mengisi kunci kepada gedung-gedung perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini hendak menyatakan betapa kayanya dia.

Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan. Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,

“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”

Lihat. Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.

Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.

Nah… Apakah itu yang kita mahu?

Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?

Saya yakin, 99% akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”

Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu?  Anda berjaya, tetapi anda langsung lupa bahawa yang memberi kejayaan adalah Allah SWT , dan ini buktinya ada semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.


Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.

Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.

Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.

Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.

“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”
ALLAH menjawab,

“ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”

Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah study ? gagal dalam perniagaan walau hebat menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,

“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”

Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.


Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.
Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?

Saya yakin tidak..

Anda tenang sekarang?

Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.

Aku berdosa, tetapi aku berjaya…. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.

Mari kita sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula :)